Friday 26 September 2014

Tenunan menggunakan warna kontra


Esok Tiba :)

Keesokan hari merupakan hari di mana segala projek kami akan ditayangkan :) Singgahlah di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang,Miri jika anda ingin belajar dan menambah pengetahuan serta pengalaman mengenai tenunan kerana ianya akan menjadi meriah jika ramai  yang singgah. Bersama kita pelajari mengenai tradisi kita. 





Perhatian : Hanya yang singgah di booth kami pada esok hari akan memperoleh penanda buku yang ikhlas dibuat oleh kami :)
Jangan tunggu lama lama,
Nanti lama lama ia diambil orang.

Sekian.

Thursday 25 September 2014

Salam Perkenalan

Salam Perkenalan.

  Saya merupakan salah seorang daripada ahli pasukan dalam menghasilkan tenunan ini sempena PBL. Pada awalnya,kami datang daripada 3 buah kumpulan yang berbeza namun tujuannya adalah satu,iaitu menenun. Kami menjadi sukarelawan untuk projek ini untuk menyedarkan para generasi muda akan betapa penting,unik dan asyik apabila kita menenun. Sememangnya pada awal peringkat memanglah agak susah dan menyusahkan.Namun apabila kita sering melakukan ini,rasa kebosanan serta menyusahkan itu dapat hilang kerana wujudnya perasaan minat akan menenun. Di Malaysia mempunyai banyak etnik yang berbeza.Begitulah juga dengan jenis tenunan yang ada. Ianya mempunyai tarikan dan seni serta teknik yang tersendiri. Kami bukanlah pakar dalam menenun tetapi kami mempunyai sikap ingin mencuba yang sangat tinggi serta luas. Oleh itu jika diperlihatkan,seni tenunan kami tidaklah secantik dan seunik yang ada pada corak pua kumbu ataupun songket. Kami hanya membuat apa yang termampu. Seperti anda,ingin mencuba. Itulah kami.

  Mungkin anda mengatakan bahawa kami tidak menggunakan bakat kami kerana hasilnya sungguh ketara memerlukan pertolongan guru.Ya,memang kami memerlukan pertolongan guru namun bukan kesemua kami mohon pertolongan.Hanya meminta tolong dari segi bajet benang dan kayu. Itu sahaja cukup memadai.Untuk membuat sebuah tenunan yang sebesar A3 bukanlah dalam masa 1 ke 2 hari namun berminggu minggu. Ianya memerlukan kesabaran dan ketelitian yang sangat tinggi.

Belum cuba,belum tahu,
Kami dah cuba,jadi kami tahu.

Sekian,terima kasih.

Di belakang takbir


Gambar di atas menunjukkan di mana salah seorang daripada kami giat menenun dengan menggunakan pensel warna sebagai jarum kek.

Cara kami mudah dan ringkas. Kami menggunakan pensel warna sebagai jarum. Ianya lebih mudah untuk dikendalikan.

Karya Kami :)

Ini adalah karya tenunan kumpulan kami yang akan kami pamerkan ketika Kolokium PBL pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 27 September 2014, di mana ianya diadakan di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang,Miri.

Ianya merupakan perubahan dalam warna merah dan biru dimana warna Maroon,Salmon,Purple,Lavender,Hot Pink,Light Pink,Midnight Blue and Steel Blue. Ianya mengambil masa selama 3 minggu kerana percanggahan dalam jadual percubaan PT3.

Hari demi hari,akhirnya tenunan kami pun telah siap dengan jayanya. :)

Hasil Karya Tenunan Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang

Ini adalah sebahagian daripada hasil karya yang telah kami lakukan. Secara tidak langsung,pelajar tingkatan 3 Kolej TDTHB telah menolong kami sepanjang perjalanan kami melaksanakan projek tenunan ini :) Terima kasih kepada para pelajar tingkatan 3 KTDTHB.









Weaving is Easy as 1,2,3

                         Check this video out Guys. It's about weaving. And it's superrrrrr easy :)
Try to make this primary weave cause this might change your current past time.

Thank you !

Thursday 18 September 2014

Proses Tenunan

Bahan dan Alat

Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.

Teknik dan Proses

Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.

1. Melerai

Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing

Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.

3. Menggulung

Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.

4. Menyampuk

Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

5. Menghubung

Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.

6. Mengarak

Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.

7. Menyolek

Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.

8. Menenun

Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.

Wednesday 17 September 2014

Jenis-jenis Kain Tenunan


Kain Cindai
   
Catatan sejarah membayangkan bahawa kain cindai dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-12 atau ke-13 Masihi. Kain ini berasal dari Hadrami di wilayah Gujerat, India dan dibawa ke negara ini oleh pedagang Islam melalui pelabuhan Terengganu. Kain cindai ialah sejenis kain nipis dan ringan yang ditenun daripada benang sutera yang sederhana kasar. Coraknya dihasilkan dengan teknik ikat dan celup. Kain cindai dibahagikan kepada dua jenis iaitu cindai jantan dan cindai betina. Perbezaannya dikenali pada corak atau bunga dan pada warna latar atau tanahnya. Cindai jantan mempunyai bunga yang kasar dan garang, manakala cindai betina menampilkan bunga yang halus dan lembut. Bunga kain cindai diberi nama yang unik seperti giling kacang, hujan lebat, sekawan merpati dan tikar ru.
Kain Limar
 
Pada tahun 1773 pemerintah Melaka, Sultan Mansur Syah I telah meminta para penenun istana mencipta sejenis kain yang menyerupai kain cindai dan kain songket. Daripada pemerintahan diRaja itu, lahirlah kain limar. Ketika kain limar mula-mula dihasilkan dahulu, kombinasi warna-warna buah limau iaitu rentetan warna dari hijau kuning ke merah tua digunakan. Kain limar ditenun daripada benang sutera dan bersulam benang emas. Kedua-dua cara digunakan untuk membuat kain cindai dan kain songket. Teknik buatan kain limar sama dengan kain cindai cuma perbezaannya sebelum ditenun, coraknya ditentukan dengan cara mengikat benang-benang itu berkelompok pada alat aning. Kain limar merupakan pakaian wanita istana pada zaman dahulu.
Tenunan Pahang
 
Kain tenunan Pahang dipercayai berasal daripada Sulawesi dan dibawa ke Pahang pada abad ke-16. Tokoh yang bertanggungjawab ialah Tuk Tuan atau Keraing Aji yang berketurunan Bugis dan bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang. Dari Pahang, corak ini berkembang ke Kelantan dan Terengganu. Tenunan Pahang menggunakan alat yang dikenali sebagai kei siam. Kedua-dua benang sutera dan benang kapas boleh digunakan. Motif utama ialah petak-petak dan jalur tegak atau melintang.
Tenunan Rungus

Kain yang ditenun secara tradisional ini diusahakan oleh kaum Rungus yang mendiami daerah Kudat, Sabah. Tenunan Rungus menggunakan benang kapas. Proses menenun kain Rungus ini serupa dengan proses menenun kain dastar dan kain pua. Alat tenunan dipanggil kek sandang belakang untuk menenun dastar dan disebut ‘babaal’ dalam bahasa Rungus. Warna tradisi kain Rungus ialah hitam, merah, kuning dan putih. Warna kuning dan putih digunakan sebagai warna rekacorak dan jalur. Corak kain ini direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan. Motif tenunan Rungus berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.

Tenunan benang kapas
 
Tenunan ini adalah tenunan biasa termasuk dalam kelompok tekstil sederhana iaitu jenis awal yang ditemui di wilayah budaya tekstil Melayu pesisir. Tekstil ini khususnya yang diperbuat daripada kapas dipakai oleh kalangan rakyat biasa. Tenunan biasa berhias corak hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Pada peringkat ini, tenunan biasa masih di peringkat sederhana iaitu belum lagi diberi motif hiasan. Tenunan bercorak mula memperlihatkan keindahan khususnya apabila benang sutera atau benang emas diselit untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil seperti pada kain hujan emas. Hampir seluruh wilayah budaya tekstil melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Riau-Siak, Sulawesi, Minangkabau, Palembang menghasilkan tenunan biasa atau tenunan becorak yang seperti ini.
Tenunan Pua
 
Tenunan Pua diusahakan oleh kaum Iban di Sarawak. Alat tenunan tradisional ini dinamakan kei tumpah. Alat ini biasanya tersimpan di beranda rumah panjang. Semasa menenun, alat ini diikatkan pada tiang rumah dan tenunan diregangkan dengan menyandangkan pada penenun. Tenunan pua dikaitkan dengan cara hidup masyarakat Iban. Kerja menenun itu dilakukan sendiri mengikut adat, penenun mesti akur pada petua dan pantang larang. Misalnya, rekacorak hantu atau roh yang dikenali sebagai ‘engkeramba’ tidak boleh ditenun di pinggir pua. Rekacorak itu mesti ditenun di tengah-tengah pua dan dipagari oleh rekacorak ‘kemerbai’. Jika tidak dilakukan sebegitu, hantu atau roh itu akan terlepas dan mengacau penghuni rumah panjang atau mungkin membawa malapetaka ke atas mereka. Tenunan pua ada pelbagai jenis. Di antaranya ialah pua mata, pua rara dan pua kumbu. Pua kumbu adalah pua yang paling rumit. Cuma penenun yang mahir dan cekap sahaja sanggup untuk menghasilkannya. Manakala, pua mata dan pua rara biasanya ditenun oleh penenun yang kurang mahir atau baru belajar. Kebanyakan corak yang digunakan adalah berunsurkan tumbuh-tumbuhan dan binatang. Motif tenunan dihasilkan daripada teknik ikatan iaitu ikat dan celup. Pewarnan tenunan pua diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, pinang dan kulit kayu baku. Warna utama yang digemari adalah merah tua, coklat, kuning dan hitam. Biasanya kain pua yang kasar dijadikan selimut manakala kain pua yang halus dijadikan kain sarung dan jaket untuk dipakai pada majlis-majlis tertentu. Kini, kegunaan kain pua dipelbagaikan seperti hiasan dinding, beg tangan, kulit fail, alas meja dan sebagainya.





Tuesday 16 September 2014

Tokoh-tokoh Tenunan


HAJAH ZAINAB

Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita di kampung tersebut termasuk keluarga Hajah Zainab ketika negara bergelut dengan kepayahan hidup akibat jajahan tentera Jepun. Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan juru rawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya.

Selama penglibatan beliau di dalam perusahaan tenun songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket beliau telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Selain Istana Negara menempah pakaian untuk penjawat istana sejak 10 tahun yang lalu, Istana Maziah di Terengganu turut pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Beliau juga pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei. Kepercayaan yang diberi oleh pihak istana kepada beliau adalah pengiktirafan yang tinggi terhadap kain songket yang dihasilkan oleh beliau.

Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin. Hajah Zainab turut menghasilkan beberapa produk hiasan yang menggunakan kain songket seperti alas meja, sarung kusyen, hiasan dinding, beg tangan, cekak kepala dan sebagainya. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau, pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.


PUAN RUBANGKI
 
Puan Rubangki dilahirkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan Tenunan Rungus. Ibunya merupakan seorang penenun kain tradisi masyarakat Rungus yang terkenal dan telah mendidik beliau sejak kecil lagi dalam bidang kemahiran ini.

Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal, kreativiti dan kesungguhan beliau dalam mengusahakan Tenunan Rungus telah meletakkan beliau di antara penenun kain tradisi Sabah yang disegani.

Beliau berkemahiran membuat rekaan motif sendiri untuk kain-kain yang ditenun. Setiap motif dan reka corak Puan Rubangki berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang.

Proses menghasilkan rekaan bermula apabila beliau duduk menenun. Beliau melakar reka corak dan motif melalui imaginasi yang kemudian digambarkan terus melalui benang-benang yang ditenun.

Keistimewaan tenunan beliau terletak pada aspek kehalusan dan kepelbagaian reka corak. Reka corak ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun dan ia tersimpan dalam pemikiran beliau (tidak dicatat atau dilakar di dalam buku).

Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).

Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.

Tenun rungus biasanya dijadikan sebagai pakaian lelaki dan wanita rungus terutama semasa ketika menyambut acara keagamaan, perayaan, dan majlis perkahwinan.
 

Beliau juga mahir menghasilkan Tenunan Mugah yang terkenal dari suku kaum Irranun di Sabah.

Beliau turut menyertai program promosi anjuran beberapa agensi kerajaan, swasta termasuk Kraftangan Malaysia, antaranya:
  • Pameran dan demonstrasi sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Sabah.
  • Pameran dan Promosi sempena Fiesta Muzium Sabah
  • Pameran di Universiti Sabah Malaysai.
Beliau turut menyumbang jasa dalam mengekal seni tenunan ini. Beliau memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dan juga individu yang berminat.

Diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tenun Rungus pada tahun 1990 atas sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang tenunan Rungus.