Wednesday 17 September 2014

Jenis-jenis Kain Tenunan


Kain Cindai
   
Catatan sejarah membayangkan bahawa kain cindai dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-12 atau ke-13 Masihi. Kain ini berasal dari Hadrami di wilayah Gujerat, India dan dibawa ke negara ini oleh pedagang Islam melalui pelabuhan Terengganu. Kain cindai ialah sejenis kain nipis dan ringan yang ditenun daripada benang sutera yang sederhana kasar. Coraknya dihasilkan dengan teknik ikat dan celup. Kain cindai dibahagikan kepada dua jenis iaitu cindai jantan dan cindai betina. Perbezaannya dikenali pada corak atau bunga dan pada warna latar atau tanahnya. Cindai jantan mempunyai bunga yang kasar dan garang, manakala cindai betina menampilkan bunga yang halus dan lembut. Bunga kain cindai diberi nama yang unik seperti giling kacang, hujan lebat, sekawan merpati dan tikar ru.
Kain Limar
 
Pada tahun 1773 pemerintah Melaka, Sultan Mansur Syah I telah meminta para penenun istana mencipta sejenis kain yang menyerupai kain cindai dan kain songket. Daripada pemerintahan diRaja itu, lahirlah kain limar. Ketika kain limar mula-mula dihasilkan dahulu, kombinasi warna-warna buah limau iaitu rentetan warna dari hijau kuning ke merah tua digunakan. Kain limar ditenun daripada benang sutera dan bersulam benang emas. Kedua-dua cara digunakan untuk membuat kain cindai dan kain songket. Teknik buatan kain limar sama dengan kain cindai cuma perbezaannya sebelum ditenun, coraknya ditentukan dengan cara mengikat benang-benang itu berkelompok pada alat aning. Kain limar merupakan pakaian wanita istana pada zaman dahulu.
Tenunan Pahang
 
Kain tenunan Pahang dipercayai berasal daripada Sulawesi dan dibawa ke Pahang pada abad ke-16. Tokoh yang bertanggungjawab ialah Tuk Tuan atau Keraing Aji yang berketurunan Bugis dan bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang. Dari Pahang, corak ini berkembang ke Kelantan dan Terengganu. Tenunan Pahang menggunakan alat yang dikenali sebagai kei siam. Kedua-dua benang sutera dan benang kapas boleh digunakan. Motif utama ialah petak-petak dan jalur tegak atau melintang.
Tenunan Rungus

Kain yang ditenun secara tradisional ini diusahakan oleh kaum Rungus yang mendiami daerah Kudat, Sabah. Tenunan Rungus menggunakan benang kapas. Proses menenun kain Rungus ini serupa dengan proses menenun kain dastar dan kain pua. Alat tenunan dipanggil kek sandang belakang untuk menenun dastar dan disebut ‘babaal’ dalam bahasa Rungus. Warna tradisi kain Rungus ialah hitam, merah, kuning dan putih. Warna kuning dan putih digunakan sebagai warna rekacorak dan jalur. Corak kain ini direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan. Motif tenunan Rungus berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.

Tenunan benang kapas
 
Tenunan ini adalah tenunan biasa termasuk dalam kelompok tekstil sederhana iaitu jenis awal yang ditemui di wilayah budaya tekstil Melayu pesisir. Tekstil ini khususnya yang diperbuat daripada kapas dipakai oleh kalangan rakyat biasa. Tenunan biasa berhias corak hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Pada peringkat ini, tenunan biasa masih di peringkat sederhana iaitu belum lagi diberi motif hiasan. Tenunan bercorak mula memperlihatkan keindahan khususnya apabila benang sutera atau benang emas diselit untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil seperti pada kain hujan emas. Hampir seluruh wilayah budaya tekstil melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Riau-Siak, Sulawesi, Minangkabau, Palembang menghasilkan tenunan biasa atau tenunan becorak yang seperti ini.
Tenunan Pua
 
Tenunan Pua diusahakan oleh kaum Iban di Sarawak. Alat tenunan tradisional ini dinamakan kei tumpah. Alat ini biasanya tersimpan di beranda rumah panjang. Semasa menenun, alat ini diikatkan pada tiang rumah dan tenunan diregangkan dengan menyandangkan pada penenun. Tenunan pua dikaitkan dengan cara hidup masyarakat Iban. Kerja menenun itu dilakukan sendiri mengikut adat, penenun mesti akur pada petua dan pantang larang. Misalnya, rekacorak hantu atau roh yang dikenali sebagai ‘engkeramba’ tidak boleh ditenun di pinggir pua. Rekacorak itu mesti ditenun di tengah-tengah pua dan dipagari oleh rekacorak ‘kemerbai’. Jika tidak dilakukan sebegitu, hantu atau roh itu akan terlepas dan mengacau penghuni rumah panjang atau mungkin membawa malapetaka ke atas mereka. Tenunan pua ada pelbagai jenis. Di antaranya ialah pua mata, pua rara dan pua kumbu. Pua kumbu adalah pua yang paling rumit. Cuma penenun yang mahir dan cekap sahaja sanggup untuk menghasilkannya. Manakala, pua mata dan pua rara biasanya ditenun oleh penenun yang kurang mahir atau baru belajar. Kebanyakan corak yang digunakan adalah berunsurkan tumbuh-tumbuhan dan binatang. Motif tenunan dihasilkan daripada teknik ikatan iaitu ikat dan celup. Pewarnan tenunan pua diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, pinang dan kulit kayu baku. Warna utama yang digemari adalah merah tua, coklat, kuning dan hitam. Biasanya kain pua yang kasar dijadikan selimut manakala kain pua yang halus dijadikan kain sarung dan jaket untuk dipakai pada majlis-majlis tertentu. Kini, kegunaan kain pua dipelbagaikan seperti hiasan dinding, beg tangan, kulit fail, alas meja dan sebagainya.





2 comments:

  1. Halo, Saya ingin mempertanyakan soal gambar yang dipajang sebagai fontoh untuk Tenun benang kapas, kain yang ada pada gambar tersebut bernama Kain Tapis, kain ini adalah kain endimik khas dari suku Lampung yang ada di Sumatera bagian selatan. Kain dasarnya tersebut memang terbuat dari tenun kapas, namun setelahnya ditenun kembali menggunakan benang emas, gambar yang anda pajang adalah kain yang hanya ada di Lampung, tidak ada di tempat atau wilayah lain. Jika tidak percaya silahkan search di google dengan keyword "Kain Tapis" atau "Pakaian Adat Lampung" Terima Kasih.

    ReplyDelete
  2. Di mana ada jual kain Cindai begini?

    ReplyDelete