Tuesday 16 September 2014

Tokoh-tokoh Tenunan


HAJAH ZAINAB

Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita di kampung tersebut termasuk keluarga Hajah Zainab ketika negara bergelut dengan kepayahan hidup akibat jajahan tentera Jepun. Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan juru rawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya.

Selama penglibatan beliau di dalam perusahaan tenun songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket beliau telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Selain Istana Negara menempah pakaian untuk penjawat istana sejak 10 tahun yang lalu, Istana Maziah di Terengganu turut pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Beliau juga pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei. Kepercayaan yang diberi oleh pihak istana kepada beliau adalah pengiktirafan yang tinggi terhadap kain songket yang dihasilkan oleh beliau.

Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin. Hajah Zainab turut menghasilkan beberapa produk hiasan yang menggunakan kain songket seperti alas meja, sarung kusyen, hiasan dinding, beg tangan, cekak kepala dan sebagainya. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau, pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.


PUAN RUBANGKI
 
Puan Rubangki dilahirkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan Tenunan Rungus. Ibunya merupakan seorang penenun kain tradisi masyarakat Rungus yang terkenal dan telah mendidik beliau sejak kecil lagi dalam bidang kemahiran ini.

Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal, kreativiti dan kesungguhan beliau dalam mengusahakan Tenunan Rungus telah meletakkan beliau di antara penenun kain tradisi Sabah yang disegani.

Beliau berkemahiran membuat rekaan motif sendiri untuk kain-kain yang ditenun. Setiap motif dan reka corak Puan Rubangki berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang.

Proses menghasilkan rekaan bermula apabila beliau duduk menenun. Beliau melakar reka corak dan motif melalui imaginasi yang kemudian digambarkan terus melalui benang-benang yang ditenun.

Keistimewaan tenunan beliau terletak pada aspek kehalusan dan kepelbagaian reka corak. Reka corak ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun dan ia tersimpan dalam pemikiran beliau (tidak dicatat atau dilakar di dalam buku).

Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).

Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.

Tenun rungus biasanya dijadikan sebagai pakaian lelaki dan wanita rungus terutama semasa ketika menyambut acara keagamaan, perayaan, dan majlis perkahwinan.
 

Beliau juga mahir menghasilkan Tenunan Mugah yang terkenal dari suku kaum Irranun di Sabah.

Beliau turut menyertai program promosi anjuran beberapa agensi kerajaan, swasta termasuk Kraftangan Malaysia, antaranya:
  • Pameran dan demonstrasi sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Sabah.
  • Pameran dan Promosi sempena Fiesta Muzium Sabah
  • Pameran di Universiti Sabah Malaysai.
Beliau turut menyumbang jasa dalam mengekal seni tenunan ini. Beliau memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dan juga individu yang berminat.

Diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tenun Rungus pada tahun 1990 atas sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang tenunan Rungus.



No comments:

Post a Comment